Presiden ANGKASA, Dato’ Dr. Abdul Fattah Abdullah hari ini berbesar hati merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Contoh Ahli KOPAMA Berhad di Felda Bukit Batu, Kulai, Johor.

Dalam ucapannya, beliau amat berbangga dengan usaha yang dilakukan oleh Koperasi Alumni MKM Kuala Lumpur (KOPAMA) dalam menunjukkan komitmen gerakan koperasi dengan mengambil langkah ke hadapan mendepani cabaran pemilikan hartanah di negara ini.

“Isu pemilikan hartanah atau rumah yang menjadi keperluan asas kehidupan merupakan isu nasional yang seringkali dibincangkan. Sehingga kini, masih belum ada satu penyelesaian konklusif kepada isu ini.

“Pada tahun 2020, National Property Centre (NAPIC) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pada separuh tahun pertama 2019, sejumlah 32,810 unit kediaman bernilai le oh RM19.8 billion, kekal tidak terjual.

“Bagi anggota koperasi pula, ramai dalam kalangan mereka yang mampu memiliki rumah, namun ketiadaan slip gaji dan dokumen lain menyukarkan proses pemilikan. Di sinilah fungsi koperasi hadir sebagai pemudah cara kepada mereka yang dinafikan hak ini.

“ANGKASA akan terus menyokong usaha-usaha murni seperti dilakukan oleh KOPAMA yang menubuhkan Skim Simpanan Perumahan kepada ahli-ahlinya untuk memiliki rumah sendiri di tanah hak milik sendiri dengan bajet mengikut kemampuan mereka,” katanya.

Sebelum itu, Pengerusi KOPAMA, Datuk Abd Rahim Hashim dalam ucapan aluannya berkata, setakat ini pihaknya telah menerima 4,000 permohonan untuk membina rumah di atas tanah sendiri tetapi proses pembinaan agak terganggu kerana pandemik yang berlaku. Bagaimanapun, tiga buah rumah contoh telah dibina dan mereka akan lebih giat berkempen di seluruh negara untuk menarik lebih ramai anggota menabung dalam Skim Simpanan Perumahan bagi mendapatkan rumah idaman masing-masing.

Dalam majlis tersebut, dua orang anggota KOPAMA, Puan Halimah dan Puan Jama’ayah telah menerima kunci rumah mereka.

Hadir sama ialah Naib-Naib Presiden ANGKASA, Datuk Mohamad Ali Hasan dan Dato’ Che Mohd Shukree Che Isa, Pengerusi JPAN Johor, Hj. Sazali Abd Hamid dan Encik Wan Mohammad Zain Wan Abdullah, Pengerusi JPAN Kelantan.